Showing posts with label Peristiwa. Show all posts
Showing posts with label Peristiwa. Show all posts

Saturday, January 8, 2011

Bantuan Banjir


Pada 08/01/2011 (Sabtu), YB Mohd Zaki Hj Ibrahim (Adun Kelaboran) dengan kerjasama Jentera Bilik Gerakan Banjir Pemuda Pas Dun Kelaboran telah mengadakan satu operasi penyampaian bantuan banjir kepada mangsa-mangsa banjir di Dun Kelaboran yang melibatkan penduduk Kg. Ana, Tok Oh dan Cherang Melintang.

Dua buah pick-up dan sebuah lori yang penuh dengan muatan barang keperluan dapur digerakkan ke kawasan yang dilanda banjir bermula pukul 3:00 petang. Kawasan-kawasan tersebut dinaiki air separas pinggang menyebabkan ada beberapa penduduk yang terpaksa berpindah ke pusat pemindahan banjir.

Bantuan tersebut diagihkan dengan kerjasama penghulu mukim serta ajk kampong yang berkaitan. Perahu disediakan untuk mengangkut barang-barang bantuan manakala para pembantu hanya meranduk air banjir separas pinggang.

Terima kasih diucapkan kepada semua yang terlibat terutamanya YB, Pengarah Jentera Banjir dan semua ajk jentera yang terlibat dalam memberikan bantuan kepada mangsa banjir.  

Saturday, May 22, 2010

Belia Cakno Masyarakat Dun Kelaboran


Pada 21 & 22 Mei 2010 (Jumaat & Sabtu) Pemuda Dun Kelaboran telah menganjurkan satu program ‘Belia Cakno Masyarakat’ yang berpusat di Masjid at-Tawwabeen, Kampung Tanjung Kuala, Tumpat.

Program Belia Cakna Masyarakat ini terbuka kepada 150 orang peserta termasuk urusetia terdiri dari kalangan belia yang dipilih daripada beberapa buah kampung. Ia merupakan satu program yang amat baik kerana memberi pengalaman berguna sama ada kepada urusetia mahupun peserta di samping membantu anggota masyarakat yang memerlukan pertolongan. Ia juga akan menjadi bekal berguna kepada mereka pada masa hadapan selaku pelapis dan pewaris kepimpinan sedia ada.
 
Program Belia Cakna Masyarakat ini dilaksanakan bagi menerapkan budaya ukhuwwah Islamiyyah dan saling membantu sesama anggota masyarakat. Matlamatnya juga ialah untuk membiasakan belia dengan gaya hidup sihat dan memelihara diri daripada melakukan perkara-perkara yang menyalahi agama.

Antara program-program kemasyarakatan yang dijalan semasa program tersebut berlangsung ialah gotong-royong bersih kubur dan membaiki rumah orang miskin, ziarah dan menyambpaikan sumbangan berupa barangan dapur kepada orang yang layak dan akhir sekali ialah jamuan rakyat.

Walaupun masih banyak kekurangan dan kelemahan sepanjang penganjuran program ini, saya rasa puas hati kerana dapat menjayakannya dengan bantuan para sahabat ajk Pemuda Dun Kelaboran yang telah bertungkus-lumus memberikan kerjasama terbaik mereka.

Setinggi-tinggi ucapan terima kasih saya tujukan kepada YB Mohd Zaki Hj. Ibrahim (Adun Kelaboran), YB Dato’ Haji Kamaruddin Jaafar (Ahli Parlimen Tumpat), semua ajk Pemuda Dun Kelaboran yang terlibat, para penghulu, peserta Ladang Rakyat serta semua yang terlibat sama ada secara langsung atau tidak. Hanya Allah s.w.t sahaja yang layak membalas jasa kalian.

Sunday, June 21, 2009

PERSANDINGAN AJK PEMUDA DUN KELABORAN

5 JUN 2009
3.00 PETANG
KG BERANGAN STESEN
NIK ROZLEE BIN NIK ISMAIL
&
SITI KHALIFAH BINTI MOHD NOOR


Tuesday, June 2, 2009

Bumbung stadium runtuh, Pemuda PAS desak SPRM siasat

KUALA TERENGGANU, 2 Jun - Dewan Pemuda PAS Terengganu mendesak Menteri Besar, Dato' Ahmad Said memberikan penjelasan segera berhubung keruntuhan bumbung utama di Stadium Sultan Mizan, Gong Badak, kira-kira 15 kilometer dari sini yang berlaku pagi tadi .

Timbalan Ketuanya, Ustaz Wan Sukairi Abdullah dalam kenyataan awal kepada Harakahdaily melahirkan rasa terkejutnya di atas kejadian yang amat memalukan itu. Ia malah dianggap tidak sepatutnya berlaku memandangkan stadium bernilai lebih RM200 juta itu baru sahaja siap dibina lebih setahun lalu dan dikatakan masih dalam jaminan pihak kontraktor.

Stadium yang merupakan komponen utama Kompleks Sukan Negeri Terengganu itu baru siap dibina lebih setahun lalu. Ia pertama kali digunakan untuk temasya Sukan Malaysia (Sukma) 2008.

Seluruh struktur bumbung yang memayungi tempat duduk utama di stadium itu dilaporkan runtuh. Kejadian itu disedari berlaku pagi Selasa, tanpa sebarang faktor semula jadi seperti ribut atau angin kencang.

"Fakta itu (ketiadaan ribut atau angin kencang) menyebabkan kita mengesyaki ia berpunca daripada kecuaian manusia. Apatah lagi sebelum ini pun sudah beberapa kes keruntuhan bangunan yang baru siap telah berlaku di negeri ini," kata Wan Sukairi.

Beliau dipercayai merujuk kepada beberapa kes serupa yang dilaporkan berlaku sebelum ini. Ia termasuklah dua kejadian berasingan melibatkan keruntuhan bumbung dewan besar sebuah sekolah menengah dan siling dalam kelas di sebuah sekolah di Marang.

Turut dilaporkan juga sebelum ini, beberapa struktur dalaman Bazar Warisan di tengah-tengah bandar raya Kuala Terengganu yang baru siap tidak sampai setahun turut rosak dan runtuh.

Sehubungan itu, Wan Sukairi tidak menolak kemungkinan wujudnya unsur-unsur rasuah dalam pembinaan Stadium Sultan Mizan, sehingga menyebabkan keruntuhan bumbungnya itu.

"Bagi mana-mana projek sebesar itu (pembinaan stadium), setiap 'progress' mesti diperiksa dan disahkan lulus oleh pihak yang bertanggungjawab. Kalau semuanya dibina mengikut spesifikasi, mana mungkin ianya runtuh?," soalnya.

Sehubungan itu, Dewan Pemuda PAS turut mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) segera membuka kertas siasatan bagi mengenalpasti punca kejadian, terutama sebarang kemungkinan wujudnya unsur-unsur rasuah dan penyelewengan sepanjang pembinaan stadium tersebut.

Menurut Wan Sukairi, pihaknya akan mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung perkara itu dalam masa terdekat.

Saturday, May 23, 2009

ADUN MANEK URAI MENINGGAL DUNIA

PETALING JAYA: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manek Urai, Kelantan, Ismail Yaacob dari PAS meninggal dunia awal pagi tadi kerana sakit.

Ismail, 60, meninggal dunia kira-kira pukul 5.55 pagi tadi.

Ketika dihubungi sebentar tadi, Pengarah Pilihan Raya PAS, Datuk Mustafa Ali mengesahkan Allahyarham Ismail meninggal dunia kerana sakit.

“Beliau dah lama sakit dan meninggal dunia awal pagi… kita akan adakan sidang media pagi ini,” kata beliau. Ismail telah dimasukkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu akhir bulan lalu kerana masalah di bahagian kaki dan difahamkan turut menghadapi masalah jantung.

Dalam pilihan raya umum lalu beliau menewaskan calon Barisan Nasional (BN) Mohamed Zulkepli Omar dengan majoriti 1,352 undi.

Dalam pada itu, Timbalan Pesuruhjaya PAS II Kelantan, Datuk Nik Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, Allahyarham akan dikebumikan selepas solat Jumaat.

http://mstar.com.my